detik demi detik
Sabtu, 4 April 2009
era Dato Seri Najib Tun Razak
tahniah PM baru kita
Najib angkat sumpah PM ke-6
KUALA LUMPUR 3 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.
Najib, 55, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.
Beliau mengikut jejak Allahyarham ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein, yang menerajui negara dari tahun 1970 sehingga 1976 sebelum meninggal dunia akibat leukemia.
Segak berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Pasangan itu kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.
Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.
Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.
Acara penuh istiadat itu bermula apabila Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berangkat memasuki Balairong Seri pada pukul 10.05 pagi.
Upacara dimulakan dengan lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Angkatan Tentera Malaysia.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh Najib sebagai Perdana Menteri dimulakan pada 10.10 pagi.
Najib kemudian membaca ikrar mengangkat sumpah taat setia serta menyimpan rahsia sebelum menandatangani keempat-empat Suratcara Pelantikan, diikuti dengan bacaan doa selamat.
Keempat-empat Suratcara Pelantikan itu kemudiannya ditandatangani oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebagai saksi yang kemudiannya diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Pada majlis yang sama, Abdullah dikurniakan anugerah Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) manakala Jeanne menerima anugerah Seri Setia Mahkota (SSM), kedua-duanya membawa gelaran Tun, daripada Seri Paduka.
Najib dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang, pada 23 Julai 1953 dan merupakan anak sulung kepada Tun Abdul Razak dan Tun Rahah Mohd. Noah.
Pelantikan Najib hari ini cukup signifikan kepada sejarah negara kerana ini merupakan kali pertama anak kepada perdana menteri dilantik ke jawatan yang sama.
Karisma kepimpinannya dalam politik mula terserlah apabila beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan pada 1976 sebelum mencatat sejarah pada tahun yang sama sebagai anggota Parlimen termuda, pada usia 22 tahun, dengan memenangi tanpa bertanding kerusi Pekan dalam satu pilihan raya kecil apabila ayahanda meninggal dunia.
Bermula dari situ, Najib secara beransur meniti kejayaan dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan sehingga menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri. - BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan